Jumaat, 6 September 2013

MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAH



Al-Syahadatain (dua kalimah syahadah) adalah merupakan lafaz yang wajib diketahui dan dii`tikadkan oleh setiap muslim. Ia juga merupakan lafaz yang wajib diucapkan oleh orang-orang kafir bagi melambangkan keislaman mereka.

Lafaz Dua Kalimah Syahadah ialah:

أَشْهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ

Maksudnya:

“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu utusan Allah”.

Perhatian: Lafaz ashhadu (أشهد) yakni “aku bersaksi” mengandungi tiga makna serentak iaitu:

1. (أعلم) yakni “aku mengetahui”,
2. (أعتقد) yakni “aku mempercayai” dan
3. (أعترف) yakni “aku mengiktiraf”.

HUKUM MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAH DAN PERKARA-PERKARA YANG BERKAITAN DENGANNYA:

Jika seruan asas Islam iaitu Dua Kalimah Syahadah sampai kepada sesiapa yang mukallaf, maka wajib ke atasnya menganut agama Islam, tetap dalam agama Islam dan beramal dengan syariat Islam.

Untuk menganut agama Islam, seseorang yang kafir wajib mengucap Dua Kalimah Syahadah berserta dengan i`tiqad yang benar lagi utuh.

Lafaz Dua Kalimah Syahadah tidak disyaratkan dengan lafaz yang dimulakan dengan lafaz ashhadu (أشهد) untuk mengesahkan kemasukan seseorang ke dalam agama Islam. Bahkan, ianya boleh dilafazkan dengan ungkapan lain yang mempunyai makna yang sama dengannya meskipun bukan dalam bahasa Arab.

Kefardhuan melafazkan Dua Kalimah Syahadah ke atas seluruh umat Islam kekal dalam setiap solat supaya solat menjadi sah menurut mazhab al-Imam al-Syafi`e.

Orang yang dilahirkan di dalam Islam dan beri`tiqad dengan Dua Kalimah Syahadah tidak disyaratkan mengucap dua kalimah syahadah untuk menjadi orang Islam. Bahkan dia sebenarnya sudah menjadi orang Islam kerana didikan dan asuhan yang diterima olehnya adalah berdasarkan kepada aqidah yang sahih.

Menurut ulama dalam mazhab Maliki bahawa Dua Kalimah Syahadah wajib diucapkan sekali seumur hidup ke atas setiap mukallaf setelah mencapai usia baligh dengan niat fardhu. Ini adalah kerana mazhab mereka tidak mewajibkan bacaan tahiyyat dalam solat, bahkan mereka hanya menganggapnya sebagai sunat. Sedangkan menurut ulama dalam mazhab-mazhab yang lain seperti ulama mazhab Syafi`e dan mazhab Hanbali, dua kalimah syahadah adalah wajib dilafaz dalam setiap solat bagi memastikan solat menjadi sah.

Iman dan Islam seseorang itu tidak sah dan segala amalan kebajikannya tidak diterima tanpa dua kalimah syahadah yakni tanpa iman yang benar.

Ucapan syahadah pertama wajib diiringi dengan ucapan syahadah kedua bagi mengesahkan keislaman seseorang yang mahu memeluk agama Islam. Itulah kadar minima untuk selamat dari kekal abadi di dalam api neraka.

Oleh itu setiap manusia wajib meyakini secara jazam (putus) tentang kewujudan Allah ta`ala dan Allah ta`ala mempunyai sifat-sifat yang sempurna. Seseorang itu juga wajib juga beri`tiqad bahawa apa yang di bawa oleh Rasulullah adalah benar belaka tanpa ada syak, zan dan waham.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan